Wednesday, June 09, 2010

Berita gempar!


Berita ini dah sebulan yang lepas. Tapi saya rasa perlu diketahui ramai kerana tentu sekali ia boleh membakar semangat kita semua untuk terus bekerja lebih keras dan lebih bersungguh-sungguh.

Sebulan yang lepas, cawangan sg petani digemparkan oleh seorang ejen perunding yang baru sahaja menyertai industri ini dengan jualan peribadi sebanyak RM1 juta. Tahniah saya ucapkan kepadanya dan biar saya katakan, Anda Hebat! Mungkin anda semua ingin tahu berapa pendapatan komisyennya bulan tersebut. Sekali congak, komisyennya tidak kurang dari RM27,500. Itulah adalah pendapatan untuk bulan tersebut, belum dikirakan dengan Career Benefit yang bakal diperolehinya. Hebat bukan? Pendapatan sebulan untuk seorang ejen yang baru sahaja menceburi bidang ini. Anda bagaimana?

Barangkali untuk sekadar alasan dan menyedapkan hati nurani anda, anda akan berkata, "dia boleh lah, dia kontek ramai" atau "dia labur duit sendiri tu"... apapun yang anda kata, telah ramai ejen baru sepertinya melakukan perkara tersebut, iaitu berjaya memperolehi sale yang besar setiap bulan. Jadi ia bukan milik ejen tadi seorang. Dengan perkataan lain, semua orang mampu melakukannya dan apa yang membezakannya ialah 'kemahuan'.

Ingin saya berkongsi sebuah cerita benar ketika saya menghadiri sebuah seminar motivasi tidak lama dulu. Ramai peserta yang menghadiri seminar ini walaupun kosnya RM250 untuk tempoh 8 jam. Penceramahnya nampak begitu bersemangat sekali ketika berucap di atas pentas dihadapan para peserta. Suatu ketika, beliau mengeluarkan wang kertas RM50 dan bertempik, "siapakah yang mahu wang ini?" Maka ramailah para peserta mengangkat tangan sambil menjerit, saya! saya! dan saya! Riuh rendah dewan seminar itu jadinya. Kali ke dua penceramah itu bertempik lagi, "siapakah yang mahu wang ini?" sambil dia mengangkat dan menggoyang wang itu tinggi di atas kepalanya. Sekali lagi hampir keseluruhan para peserta menjerit, "saya! saya! dan saya!" Sekali lagi dewan itu menjadi riuh rendah. Dan buat kali ketiga penceramah itu ulang bertempik, "siapakah yang mahu wang?"... di dalam masa yang sama seorang peserta wanita bangun berlari meluru menaiki pentas, menuju ke arah penceramah itu dan cuba menyambar wang kertas RM50 di tangan penceramah tersebut. Kali pertama penceramah itu berjaya mengelak, tetapi peserta wanita itu menjadi lebih agresif, dia melompat dan cuba menyambar wang tersebut dan dia berjaya. Lalu dia berjalan berpatah balik bersama wang RM50 ke tempat duduknya. Gempar seketika. Tetapi penceramah itu hanya tersenyum dan mula bertanya, "apakah yang membezakan dia dengan anda semua?"... Dewan menjadi sunyi sepi.

Lalu penceramah memberikan penjelasan. Motif di sebalik kejadian ialah begini, anda semua mahukan wang, mahukan kejayaan, mahukan kebebasan kewangan... tetapi apakah tindakan yang telah anda ambil. Ramai yang mahukan wang yang banyak, tetapi tiada sebarang tindakan, kalau ada pun hanya sekadar 'lebih kurang' sahaja. Seperti wanita tadi, beliau mahukan wang yang ada di tangan penceramah, tindakan beliau ialah bangun, berlari dan cuba mencapai wang tersebut. Hasilnya, beliau berjaya memperolehi wang itu.

Kembali kepada diri kita sendiri. Kebanyakkan dari kita selalu mengimpikan wang yang banyak. Tetapi impian hanya tinggal mimpi, kita jarang berusaha keras dan bersistematik untuk memperolehinya. Acap kali, kita mula berusaha dengan begitu bersemangat tetapi apabila ada rintangan dan halangan, kita gagal terduduk, kita mula berputus asa. Lantas kita cuba beralih arah mencari bisnes yang lebih mudah untuk mendatangkan duit. Ini adalah salah sama sekali.

Jika ini yang anda lakukan di dalam hidup anda, cuba bayangkan berapa banyak bisnes yang akan anda cuba dan berapa banyak modal yang akan anda belanjakan sepanjang pencarian anda. Sebaliknya apa yang sepatutnya anda lakukan ialah istiqamah atau berkekalan dengan jalan yang baik yang telah anda pilih dan berusaha sedaya-upaya, tidak kira apa halangannya atau berapa kali kegagalan yang anda tempuhi. Jika cubaan pertama atau kedua anda gagal, cuba renung kembali, fikirkan apakah yang telah anda lakukan dan bangun semula dengan pendekatan lain yang lebih professional. Sematkan di dalam minda anda, di mana ada kesulitan atau kepayahan, di situ ada jalan atau hikmah untuk anda memperolehi kejayaan.

Tanya sesiapapun yang telah jauh berjaya di atas sana, mereka telah melalui segala onak dan duri dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan, bukannya melarikan diri cuba mengelak dari masalah.

Dan anda juga perlu bertindak seperti ini. Mungkin sebelum ini anda telah melakukan kesilapan, tetapi anda masih mempunyai peluang untuk membetulkannya.

No comments:

Post a Comment