Wednesday, August 12, 2009

Menetapkan sasaran anda



Pernahkah anda bekerja tanpa tujuan? Mungkin anda masih keliru dengan pertanyaan saya ini. Atau anda mungkin berkata, “saya bekerja untuk mendapatkan gaji atau upah seterusnya untuk menyara diri dan keluarga saya”


Baiklah, jawapan itu adalah diantara sebahagian besar jawapan yang saya terima apabila bertanyakan ia kepada ramai perunding .


Teringat kisah lama, suatu masa dahulu, ketika saya bekerja di sebuah syarikat pengeluar barangan elektronik, sememangnya kita bekerja untuk mendapatkan upah atau gaji. Tetapi majikan menggajikan kita untuk tujuan tertentu. Misalnya, saya dahulu ditugaskan untuk merancang, merekabentuk, memasang, menguji dan menyiapkan sebuah pemain DVD. Akhirnya dijual dan sampai ke tangan para pembeli. Untuk sampai ke tahap itu, perancangan dibuat begitu teliti, kerja-kerja merekabentuk, memasang dan menguji malah mengubahsuai, yang mana ia memakan masa yang lama dan akhirnya ia pun siap. Itulah tujuan majikan saya mengajikan saya, menghasilkan sebuah pemain DVD.


Sudah tentu tujuan saya bekerja dan majikan menggajikan saya adalah berbeza. Saya bekerja untuk mendapatkan upah dan majikan ingin mendapat keuntungan yang besar dalam perniagaannya.


Kembali kepada diri kita sendiri. Apabila anda menjadi perunding unit amanah, bermakna anda mengusahakan perniagaan sendiri. Anda adalah majikan kepada diri anda. Lebih tepat lagi anda adalah boss kepada diri anda sendiri. Jadi anda mesti berpandangan jauh, bukan sekadar mendapatkan upah atau komisyen di hujung bulan sahaja. Anda mesti berfikiran lebih jauh dari itu.


Ini adalah perniagaan anda sendiri. Sepatutnya anda merancang ke mana hala tuju perniagaan anda dalam masa beberapa tahun akan datang. Adakah anda merancang perniagaan anda semakin baik atau semakin teruk. Adakah anda merancang membuat lebih banyak pendapatan atau merancang pendapatan semakin sedikit. Sudah tentunya anda akan merancang perniagaan anda akan menjadi semakin baik, dan memperolehi pendapatan yang lebih banyak.
Jika hari ini pendapatan komisyen anda ialah sebanyak RM500 sebulan, adakah anda mahu RM500 ini pada 5 tahun akan datang? Saya percaya tentunya anda mahu ia bertambah banyak bukan? Contohnya, seorang perunding mahukan pendapatannya dari RM500 sebulan sekarang bertambah menjadi RM5,000 sebulan dalam masa 5 tahun akan datang. Jadi apakah langkah-langkah yang perlu dibuat untuk mencapai sasarannya 5 tahun akan datang. Mudahnya, di sini kita Cuma perlukan lakukan 3 perkara sahaja, iaitu:
1) Sentiasa membuat jualan tanpa henti
2) Sentiasa merekrut perunding-perunding baru
3) Sentiasa memberikan ‘servis’ kepada pelangan dan perunding kumpulan anda.
Itulah 3 perkara mudah yang mesti anda lakukan untuk berjaya di sini. Bukan sekadar ‘sentiasa’ melakukannya, malah anda mesti meningkatkannya, barulah ada kemajuan di dalam perniagaan anda.


Bercerita kisah menetapkan sasaran anda, saya ada bertemu dengan seorang perunding sambilan baru-baru ini. Dia bekerja di sebuah kilang perindustrian di kulim, berumur dalam lingkungan awal 30. Selalunya saya akan bertegur sapa walaupun bukan dari kumpulan ejensi saya, kerana apa salahnya jika kita bertukar-tukar fikiran. Pada pertemuan itu saya sempat bertanya, “apa khabar? Lama tak nampak” Dia menjawab, dia baik sahaja. Menurutnya lagi, dia hanya bekerja untuk mendapatkan jualan KWSP sebanyak RM35,000 sahaja setiap bulan. Saya bertanya kenapa mesti begitu. Dengan cara itu, dia memperolehi pendapatan tambahan sebanyak RM700 setiap bulan untuk membayar pinjaman kereta sebanyak RM450 dan duit petrol sebanyak RM250. Tambahnya lagi, dia memiliki dan membayar keretanya hanya dengan wang komisyen sahaja dan gajinya disimpan untuk tujuan lain. Saya tersenyum mendengar idea perunding yang bijak ini, bagaimana dia menetapkan sasaran jualannya.


Ingin saya berkongsi kisah perunding hebat ini dengan anda semua. Bolehkah anda lihat, dia telah merancang pendapatan tambahannya itu untuk membeli dan membayar ansuran kereta. Mengikut kiraan saya, jika dia memerlukan RM35,000 jualan KWSP sebulan, dan jika secara purata setiap orang melabur RM5,000 maka dia memerlukan 7 orang pelabur setiap bulan. 7 orang pelabur setiap bulan bukanlah sesuatu yang sukar, malah 10 orang pun boleh, melainkan jika dari awal-awal lagi anda sudah menyerah kalah. Pelaburan skim KWSP adalah pelaburan yang paling mudah untuk pelabur membuat pelaburan kerana mereka tidak merasakan ‘dipaksa’ untuk mengeluarkan wang dari poket mereka.


Pergilah di luar sana, bertegur sapalah dengan sesiapa sahaja yang anda jumpa. Saya berani bertaruh, 10 orang yang anda tegur, 5 orang akan melabur dengan anda. Adakah anda berani melakukannya? Daripada 5 orang yang anda dapati ini, mintalah mereka rujukkan anda kepada saudara atau kenalan mereka. Saya percaya anda akan dapat pelabur lebih dari 5 orang lagi. Apa kata anda mencuba kaedah ini dengan bersungguh-sungguh. Lakukannya sekarang juga, jangan bertangguh lagi. Berhenti membaca artikel ini… mulalah bertindak!


Atau anda sememangnya suka membaca … Kisah di atas, seorang perunding yang menetapkan sasaran komisyennya hanya RM700 sebulan. Anda mungkin pernah mendengar seorang perunding yang memperolehi komisyen RM20,000 sebulan. Hebat bukan? Saya percaya sudah tentu perancangan kerjanya pasti hebat sekali. Sudah tentu juga cara dia bekerja pasti hebat. Pasti cara ke dua-dua perunding ini bekerja tidak sama. Mudahnya, jika anda mahukan RM700 sebulan, sudah tentu cara anda bekerja adalah untuk memperolehi RM700 sebulan. Jika anda bekerja untuk sasaran komisyen RM20,000 sebulan, sudah tentu anda akan bekerja keras untuk tujuan itu. Tetapi ramai orang mengharapkan memperolehi komisyen bulanan yang tinggi, sebaliknya kerjanya tidak seberapa. Dan selalunya harapan akan tinggal harapan sahaja… Ubahlah nasib (masa depan) anda, tiada sesiapapun akan mengubahkannya melainkan anda sendiri… masa depan anda di dalam tangan anda sendiri, anda yang tentukan di mana anda akan berada dalam beberapa tahun akan datang. Pilihan di tangan anda. Andalah yang berhak membuat pilihan…. Binalah masa depan anda yang gemilang.