Sunday, August 17, 2008

Jangan Menyerah Kalah


Semua orang boleh berhenti dan menyerah kalah, keputusan paling mudah dilakukan sudah banyak yang melakukannya. Jika setiap orang berdedikasi, berkemahuan dan teguh, sudah tentu jumlah yang berjaya lebih besar. Namun hakikatnya kumpulan yang berjaya kecil sahaja, kerana tidak banyak yang sanggup bertahan. Seandainya anda mempunyai keberanian dan kekuatan untuk bertahan lama, pasti peluang untuk berjaya lebih cerah.
Ada beberapa sebab mengapa anda tidak seharus berhenti. Pertama, sifat mudah mengalah boleh menjadi satu tabiat. Jika anda berhenti dan menyerah kalah sekali, adalah lebih senang untuk melakukannya pada kali ke dua dan kali ke tiga dan seterusnya, hingga menjadi tabiat.
Sebab ke dua, dan paling utama, anda mahu menjadi orang yang berguna dan mahu melakukansesuatu yang istimewa dalam hidup. Anda tidak mahu menjadi seperti orang lain iaitu orang biasa (ordinary and average). Jika menyerah kalah, peluang mencapai cita-cita anda akan punah. Kebiasannya, jika anda menyerah kalah sekali, kemungkinan untuk bangkit semula begitu sukar. Ini bermakna anda terpaksa meneria hakikat akan hidup sebagai orang biasa selama-lamanya. Danyang lebih dahsyat lagi, anda akan hidup dengan perasaan bahawa anda telah gagal dalam hidup.
Hakikat kegagalan
Terlampau banyak orang yang takut pada kegagalan sehinggakan mereka tidak berani langsung mencuba sesuatu. Ini menghalang mereka daripada menikmati kejayaan. Jika anda, mempunyai matlamat untuk melakukan sesuatu yang istimewa, pastinya anda terpaksa mengalami sedikit kegagalan dalam perjalanan itu.
Satu yang perlu diingat, kegagalan akan menjadi penghujungperjalanan hanya jika anda membenarkannya. Seandainya satu kegagalan menyebabkan anda terus menyerah kalah, anda memang sebenarnya anda sudah tewas. Hakikatnya, kegagalan itu pentanda kepada jalan untuk berjaya. Inilah yang perlu diserapkan ke dalam sanubari.
Kegagalan hanyalah satu peringkat yang perlu dilalui untuk berjaya. Setiap orang yangbenar-benar berjaya pernah melalui kegagalan pada satu ketika atau peringkat.
Di dalam bukunya, The Renewal factor, Robert Waterman mengatakan bahawa kegagalan itu bukanlah sesuatu yang mutlak tetapi cuma ‘permainan minda’. Menurut kajiannya, pemimpin agung tidak pernah menggunakan perkataan ‘gagal’, sebaliknya menggunakan perkataan seperti kesalahan, kesilapan dan kepincangan. Mereka tidak pernah melihat diri sebagai orang yang gagal. Kita boleh menganbil iktibar dari sini. Kegagalan itu bukan penghujung jalan – melainkan kita berputus asa dan menyerah kalah. Mencuba dan berusaha adalah lebih baik daripada tidak pernah langsung mengalami kegagalan.
Apabila perjalanan menjadi sukar, banyak yang tawar hati menyebabkan mereka mengurangkan kerja. Ini respon yang salah. Mempelahankan kerja kerana menempuh kesukaran adalah tindakbalas paling tidak tepat. Penawar kepada perasaan tawar hati adalah melipatgandakan usaha. Untuk menikmati satu bentu kejayaan, walau sekecil mana pun, ialah dengan menenangkan fikiran dan mengatasi perasaan takut, serta memotivasikan diri untuk terus berusaha.
Kemungkinannya anda kecewa dan tidak tahu apa sebenarnya yang perlu dilakukan. Anda tidak boleh berhenti, sebaliknya lakukanlah sesuatu. Tidak ada yang lebih buruk daripada berhenti dan melihat kesemua cita-cita dan impian lenyap dan terbang begitu sahaja. Setiap kali anda melakukan sesuatu, tidak kira apa, anda sebenarnya sedang membina struktur perniagaan anda. ANDA MESTI TERUS BERUSAHA!
Apa yang perlu dilakukan jika berasa mahu berhenti?
Anda ada kemahuan kuat dan sudah berusaha keras. Anda ada impian yang member inspirasi tetapi masih belum berjaya. Anda juga terpaksa berdepan perkara yang benar-benar tidak mahu dihadapi. Apa yang perlu dilakukan?
Inilah masanya untuk membuktikan bahawa anda orang berpendirian. Anda berdepan dengan masalah paling besar pernah dihadapi. Dan anda juga terpaksa berdepan godaan plaing memikat dalam hidup anda – iaitu godaan untuk berhenti dan menyerah kalah. Inilah peringkat yang memisahkan orang yang berjaya dan orang yang tewas.
Gunakan keajaiban 30 hari.
Salah satu jalan terbaik untuk membolehkan anda terus berusaha ialah dengan mempunyai matlamat jangka pendek, yang sama pentingnya dengan matlamat jangka panjang. Kumpulkan tenaga untuk mencapai sesuatu dalam masa 30 hari. Matlamat itu mestilah sesuatu yang sukar dan tujuannya untuk menghidupkan semula peniagaan atau kehidupan anda. Inilah masanya untuk memberikan segala-galanya dan bukanlah waktu membuat kerja secara sederhana atau sambil lewa.
Tetapkan satu matlamat dan rancangkan perlaksanaannya secara berterusan selama 30 hari. Mengapa tiga puluh hari? Ini kerana jangkamasa ini tidak lama untuk anda melihat hasilnya tetapi cukup lama untuk membina momentum kerja. Ikutilah petua ini, Insya- Allah perasaan untuk berhenti akan hilang.