Tuesday, January 04, 2011

Tahun baru menjelang lagi...

Salam sejahtera semua,

Tahun baru datang lagi. Rasa sekejap sahaja berada di tahun 2010, kini tahun 2011 menjelang pula. Bagaimana dengan 'goal' di tahun 2010? Sampai setakat mana pencapaian anda? Adakah anda sudah mencapainya? Apakah anda sudah berpuas hati dengan pencapaian anda?

Sebenarnya apabila masa berlalu, kita menjadi semakin matang. Matang di dalam tindak tanduk kita, matang di dalam membuat keputusan, matang di dalam membuat perancangan, malah semakin bersedia untuk menghadapi masa depan.

Saya tidak mahu menulis panjang kali ini. Apa yang ingin saya kongsikan ialah, di dalam apa jua pekerjaan kita, semestinya kita mempunyai 'goal' atau target untuk dicapai. Sengaja saya sentuh perkara ini kerana sememangnya ada juga antara kita yang bekerja sekadar bekerja tanpa ada 'goal' untuk dicapai. Bekerja semata-mata untuk memperolehi ganjaran upah atau duit. Itu sahaja.

Mari kita renung sebentar. Semua orang bekerja untuk memperolehi upah atau gaji atau duit. Cuba kita berbalik kepada beberapa tahun ke belakang. 10 tahun dulu kita bekerja untuk wang. 10 tahun panjang tempohnya. Tetapi setakat mana pencapaian kita? Adakah kita sudah separuh jalan untuk menjadi jutawan? atau suku perjalanan? atau kita belum ada apa-apa lagi? Jika kita belum ada apa-apa lagi, sudah pastinya kita bekerja hanya mengikut orang lain bekerja. Bekerja kerana upah semata-mata.

Ingat, kita akan akan bersara tidak lama lagi. Semua yang bekerja akan bersara apabila tiba masanya. Masa persaraan adalah masa untuk berhenti bekerja dan menikmati apa yang telah kita kumpul atau kita bina sebelum ini. Meskipun ada yang berkata, "aku akan bekerja sampai mati", pada fikiran anda apakah pekerjaan yang boleh anda lakukan pada umur seperti itu atau adakah kesihatan anda mengizinkan untuk anda bekerja?

Sengaja saya tinggalkan anda pada pertanyaan itu, dan saya berharap anda dengan jujur akan memjawab untuk diri anda sendiri. Berbalik kepada tahun baru menjelang lagi, saya pasti azam baru juga turut bersama anda semua. Jika belum, buatkan azam baru untuk dicapai pada tahun ini. Sekurang-kurangnya anda berazam, kewangan anda tahun ini lebih baik dari tahun lepas.

Doa saya, semoga semuanya dimurahkan rezeki yang melimpah ruah oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment