Monday, July 23, 2007

Terpulanglah kepada anda




Peluang terbentang di depan mata, cuma kita nampak atau tidak.

Saya berpeluang mengenali seorang perunding senior dari branch lain yang singgah sebentar di sini. Ketika berbual dengan saya ada bertanyakan bagaimanakah beliau mencari atau mendapatkan pelabur baru. “Peluang terbentang di depan mata, cuma kita yang tidak nampak”

“Atau kita sengaja tidak mahu melihat”

“macam mana tu?”, tanya saya.

Beginilah katanya. “Biar saya memberitahu satu cerita”.

Ada sebuah syarikat menjual kasut yang ingin mengembangkan perniagaannya ke sebuah negara di Afrika. Lalu pengurusnya menghantarkan seorang jurujual yang hebat untuk meninjau pasaran di sana. Maka pergilah jurujual tersebut ke negara itu. Setibanya di sana beliau melihat sesuatu yang luarbiasa. Orang-orang di sana tidak memakai kasut. Mereka berjalan ke sana sini hanya dengan ‘berkaki ayam’. Kalau ada yang memakai kasut pun, ia bukan seperti kasut yang kita biasa lihat iaitu sangat pelik dan diperbuat dari kayu. Untuk mencari orang yang memakai kasut amat sukar sekali.

Jurujual ini lalu pulang dan memberikan laporan kepada pengurusnya. Di sana, kita tidak akan berjaya menjual sepasang kasut pun. Orang-orang di sana tidak kenal apa itu kasut.

Pengurus tersebut menerima laporan itu, tetapi ingin pendapat jurujual lain. Lalu beliau menghantar seorang lagi jurujual yang hebat ke sana. Selepas beberapa ketika, jurujual yang ke dua ini pun pulang dan memberikan laporan.

“Tuan”, katanya. “kita mempunyai peluang pasaran yang sangat besar untuk kasut-kasut kita”. “Hampir kesemua orang di sana belum memiliki kasut. Inilah peluang kita. Apa yang perlu kita buat ialah tunjukkan bagaimana kasut-kasut kita berguna untuk mereka”.

Cuba perhatikan dan fikirkan kedua-dua pendapat jurujual itu. Satu yang negatif dan satu lagi yang cukup positif.

Sekali kita berfikiran negatif, ia sudah pasti akan menghalang idea kita yang lain untuk berkembang lalu mematikan tindakan kita yang seterusnya. Akhir kita tidak berbuat apa-apa pun.

Sementara itu, fikiran yang positif akan berkembang dan terus berkembang melahirkan idea dan tindakan yang baru yang akhirnya pasti membuahkan hasil.

Seperti kebanyakan perunding, anda mungkin pernah berfikir bahawa tiada sesiapa pun yang akan melabur dengan anda, kerana di kawasan anda itu terdapat sudah ramai perunding amanah saham. Ini adalah negative. Fikiran beginilah yang akan mematikan tindakan anda untuk keluar berusaha mencari pelabur baru. Sebenarnya ia tidak betul sama sekali.

Tugas anda ialah keluar dan menghebahkan produk anda. Di luar sana, bukan semua orang telah tahu mengenainya. Ingatlah, pasaran masih hijau dan sangat besar. Anda tidak mungkin dapat membuat ‘sale’ hanya dengan duduk berfikir-fikir sahaja di rumah. Seperti yang pernah saya tekankan dahulu, keluarlah dari sarang anda. Hebahkan berita baik ini.

Cuba renung kembali, apakah anda dapat membuat ‘sale’ yang banyak atau hebat dengan hanya duduk berfikir-fikir dan merancang-rancang sepanjang masa? Bertindaklah! Untuk memperolehi hasil yang luar biasa, sudah semestinya tindakan anda mestilah luarbiasa hebat. Betul tak?

Bertindaklah sekarang juga. Jangan biarkan bertangguh menjadikan anda leka. Bangunlah, tentukan sekarang juga berapa 'sale' anda untuk bulan ini.

No comments:

Post a Comment