Thursday, July 12, 2007

Gadis pendiam, perunding cemerlang

Berikutnya ialah petikan dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 10 Julai 2007. Bacalah kisah seorang perunding yang asalnya seorang yang pendiam, bertukar menjadi begitu cemerlang.

DALAM rekod penilaian bekas majikannya pernah menilai dia sebagai seorang pekerja yang baik dan cekap, tetapi lokek senyum dan berat mulut untuk bercakap.
Namun, siapa sangka wanita yang dulunya cukup pendiam dan lebih suka menyendiri, kini berubah serta boleh meraih pendapatan hingga puluhan ribu melalui kerjaya yang memerlukan dia banyak bercakap dan bertemu orang.


Saidatul Norhiyah Abdol, 33, sendiri sukar mempercayai dirinya mampu mencapai sehingga ke tahap sekarang. Apatah lagi apabila mengenang baru empat atau tiga tahun lepas dia sekadar seorang kerani biasa yang gaji setiap hujung bulan cukup-cukup untuk belanja sendiri dan sedikit dititip ke kampung.
“Bukan tidak bersyukur, tapi selepas sembilan tahun makan gaji saya tidak nampak apa-apa yang berubah dalam hidup saya.
“Bahkan, impian untuk memberi kesenangan kepada ibu bapa di kampung yang tertanam sejak sekolah lagi semakin kabur.



“Setiap kali balik kampung saya lihat garisan kedut pada wajah orang tua saya bertambah. Melihat itu saja saya jadi panik, takut tak sempat menunaikan hajat untuk sekurang-kurangnya menghantar mereka ke Mekah,” kata wanita berasal dari Behrang, Perak ini.
Sementelah sudah membuka kisah silam, Saidatul tidak malu mengaku dia lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang susah.
Bapanya hanya berkerja kampung yang pendapatan tidak sampai pun RM300 sebulan bagi menanggung sembilan anak.
“Bayangkan seterika pun kami tak mampu beli sedangkan waktu itu (sekitar tahun 1980-an) orang lain sudah ada macam-macam alat elektrik.
“Setiap malam kami adik beradik akan letak baju bawah tilam supaya baju nampak licin bila ke sekolah,” katanya sayu.
Sebagai anak kedua, Saidatul sanggup melupakan impian menjejak kaki ke universiti bagi memberi peluang saudara sulongnya meneruskan pengajian.
Sebaliknya, dia memberanikan diri memperjudi nasib di kota bagi mencari pekerjaan yang sepadan dengan kelulusan.


Sekadar berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia, dia hanya mampu meraih jawatan kerani di sebuah syarikat insurans dengan gaji yang sebahagiannya dihantar ke kampung.
“Bagaimanapun, bekerja tidak menumpulkan minat saya untuk belajar. Secara sambilan, saya masuk kelas dan mengambil macam-macam jenis peperiksaan berkaitan bidang insurans dan kewangan.
“Saya fikir dengan cara itu saja saya dapat sekurang-kurangnya menambah angka pada slip gaji,” katanya.
Sembilan tahun berusaha, empat kali bertukar majikan, namun perubahan yang berlaku tidak seperti yang diharapkan.
Saban hari jiwanya meronta untuk berbuat sesuatu yang dapat mengubah kehidupannya sekali gus nasib ibu bapa di kampung.


Bagaikan diatur-atur, Saidatul berkenalan dengan Azizah Saad, salah seorang perunding unit amanah paling berjaya dan telah sampai ke tahap Pengurus Agensi Kumpulan di Public Mutual, yang kemudian mengajaknya untuk sama-sama menerokai bidang tersebut.
“Mulanya saya buat secara sambilan, tapi kemudian saya fikir setakat sebelah kaki tidak akan bawa saya ke mana. Saya nekad berhenti kerja untuk menyertai unit amanah secara serius,” katanya.
Kebetulan waktu itu, perkahwinan yang dibina seawal usianya 22 tahun menemui titik noktah dengan dikurnia seorang anak perempuan yang kini berusia lapan tahun.
Kegagalan rumah tangga juga ibarat wake up call yang mengembalikan ingatannya pada janji yang pernah dibuat sewaktu mula berkerja dulu.
“Saya pernah bertekad pada diri sendiri untuk menyenangkan orang tua saya. Tetapi jodoh sampai lebih awal membuatkan sedikit sebanyak fokus saya beralih arah.
“Mungkin ini hikmah di sebalik kegagalan tersebut. Kalau pun tidak kerana janji itu, saya ada anak yang perlu diambil kira. Semua itu menjadi penyuntik semangat untuk saya bangun dan berusaha demi kelangsungan hidup kami dua beranak,” katanya.
Begitu pun, kerjaya baru yang dipilih tidak semudah diduga, malah enam bulan pertama bersama unit amanah tempoh yang cukup mencabar bagi Saidatul. Bermula dengan kosong, dia banyak bergantung pada ‘mentornya’ dengan mengikut apa saja yang mereka buat.
“Ibaratnya macam anak ayam mengikut ke mana saja ibunya bawa.Tapi saya tak kisah sebab masa itu memang masih mentah dan banyak perkara yang perlu dipelajari,” katanya.
Biarpun dalam keadaan masih ‘bertatih’, selepas enam bulan pertama itu, Saidatul mampu membuat jualan sebanyak RM850,000 dengan pendapatan purata hampir mencecah lima angka sebulan.
Lebih bermakna genap setahun bergelar perunding unit amanah, dia berjaya memenuhi impian menghantar orang tuanya ke Mekah menunaikan rukun Islam kelima.
“Sebagai anak, saya rasa itulah detik paling bermakna dan saya bersyukur kerana dapat menghantar mereka ke Tanah Suci dalam keadaan mereka masih sihat dan kuat,” katanya.


Mencecah jutaan


Kini, biarpun baru dua tahun menjadi perunding unit amanah sepenuh masa, jualannya sudah mencecah jutaan ringgit dan beberapa kali memenangi cabaran yang diberikan oleh syarikat.
Bagi Saidatul segala-galanya berkat kesungguhan mengikut latihan serta tunjuk ajar daripada para senior yang tidak jemu-jemu membimbingnya.
Justeru, perkara yang sama dilakukan terhadap ejen-ejen baru yang dibimbingnya sekarang agar mereka dapat mengecapi kejayaan sebagaimana yang beliau nikmati.
“Kerjaya ini amat bergantung dengan kerja berpasukan, selain kesediaan untuk belajar dan terus belajar,” katanya yang tampil elegan dengan jaket pendek dan seluar panjang.
Dia yang kini mencapai tahap pengurus agensi telah merekrut lebih 20 ejen yang masing-masing sedang aktif mengorak langkah.
Berkongsi petua kejayaan, kata Saidatul, selain mahir dengan ‘produk’ yang mahu dijual, semangat dan tekad perlu kuat serta tahan menghadapi kegagalan.
Katanya, tidak semua pelanggan yang ditemui akan menerima produk yang dicadangkan, malah daripada 10 mungkin hanya dua atau tiga yang menerima.
“Waktu itu kita perlu bersedia menerima penolakan, jangan cepat mengaku kalah. Saya sendiri, sudah tidak terbilang berapa kali menangis dalam kereta lebih-lebih lagi apabila bertemu dengan pelanggan yang ‘lepas cakap’.
“Tetapi saya akan pastikan rasa kecewa atau sedih itu habis di dalam kereta dan tidak terbawa-bawa hingga menjejaskan kerja seterusnya.
“Apa yang selalu saya ingat, niat saya memberi produk yang terbaik, kalau pelanggan tak mahu itu hak mereka,” katanya yang turut mencabar golongan muda lebih-lebih yang menganggur untuk menyertai bidang tersebut sebagai permulaan mengubah hidup kepada yang lebih baik.

Apakah sebenarnya unit amanah?


* Skim pelaburan kolektif yang diurus secara profesional dengan mengumpulkan wang seorang individu dan ribuan pelabur lain.
* Pengurus pelaburan yang pakar akan melaburkan wang tersebut bagi pihak pelanggan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan mengikut matlamat pelaburan dana tersebut
* Perunding unit amanah (UTC) membantu pelabur merancang simpanan dalam tempoh sederhana (tiga tahun) dan jangka panjang (lebih lima tahun).
* Pelan perancangan simpanan mesti bersesuaian dengan individu tersebut.
* Pelaburan dalam unit amanah ada turun naik mengikut harga pasaran, tetapi risikonya rendah dan boleh mengendalikan risikonya dengan baik
* UTC yang komited dan terlatih akan membantu pelanggan mencapai matlamat pelaburan tersebut.

No comments:

Post a Comment