Sunday, October 09, 2005

Cerita seorang tua yang bijaksana

Sebenarnya saya sudah lupa dari siapa saya mendapat cerita ini. Tetapi jalan ceritanya masih jelas diingatan saya. Ceritanya agak menarik. Suatu masa dahulu, terdapat seorang tua yang tinggal di dalam hutan di kaki sebuah gunung. Orang tua ini dikatakan seorang yang bijaksana.

Tidak jauh dari hutan itu, terdapat sebuah kampung. Di dalamnya terdapat beberapa orang budak-budak nakal. Pada suatu hari, mereka telah bersepakat untuk mempermainkan orang tua ini. Mereka pun membuat perjalanan untuk menemui orang tua tersebut. Di dalam perjalanan, mereka telah menangkap seekor burung dan membawanya bersama-sama mereka.

Tidak beberapa lama kemudian sampailah mereka di rumah orang tua itu. Mereka dapat melihat orang tua itu sedang berehat di kerusi kuda-kudanya di beranda rumahnya. Salah seorang budak itu telah mengambil burung yang dibawa bersama itu dan menyembunyikan di belakang badannya. Lalu dia pun bertanya kepada orang tua itu.

"Wahai orang tua yang bijaksana, apakah yang aku sedang sembunyikan di belakang ku?"

Orang tua itu tidak serta merta menjawab soalan itu, sebaliknya menggoyang-goyang kerusi kuda-kudanya untuk beberapa ketika. Kemudiannya dia pun berkata.

"Orang muda, kamu sedang memegang seekor burung di dalam tangan kamu".

Maka terkejutlah budak-budak itu. Mereka sama sekali tidak menyangka bahawa orang tua itu tahu, yang mereka sedang menyembunyikan seekor burung. Pun begitu, budak yang sedang memegang burung itu, tidak berpuashati dengan jawapan orang tersebut. Dia mematahkan sayap burung itu, dan bertanya lagi.

"Wahai orang tua yang bijaksana, jawapan kamu memang benar. Tetapi beritahu kami, apakah nasib burung ini?".

Sekali lagi, orang tua itu menggoyang-goyangkan kerusi kuda-kudanya buat seketika. Kemudian dia pun berkata, " Wahai anak muda, burung itu berada di dalam tangan kamu, maka nasib burung itu adalah terletak kepada kamu. Kamulah yang menentukan nasibnya'

Maka tamatlah cerita yang pendek ini.
Moralnya, ialah kita yang menentukan nasib dan masa depan kita. Ia adalah di dalam tangan kita. Tiada siapa yang akan menentukan biuat kita.

Kita yang tentukan ke manakah kita hendak pergi dan kitalah yang menentukan apakah masa depan kita. Cuba renung sejenak. Di manakah kita 5 tahun akan datang?

No comments:

Post a Comment